Ahmad Dhani Janji Akan Tebus Dosa Dul, Sara 13 Anak Mangsa

on Wednesday 18 September 2013

Ahmad Dhani Janji Akan Tebus Dosa Dul, Sara 13 Anak Mangsa | Ketua kumpulan Dewa, Ahmad Dhani mahu menebus dosa anak bongsunya, Ahmad Abdul Qodir Jaelani, 13, atau Dul yang terselamat dalam kemalangan ngeri menyaksikan tujuh rakannya maut. Dalam kejadian itu, kereta Mitsubishi Lancer dipandu Dul, bertembung kenderaan lain di Lebuh Raya Bogor, pada 8 September lalu.


Ahmad Dhani berjanji mahu menanggung kehidupan semua 13 anak mangsa kemalangan itu sehingga mereka mampu berdikari. Malah, pemuzik itu sanggup menanggung kos persekolahan hingga ke peringkat universiti.
“Saya akan beri bantuan sehingga mereka mendapat pekerjaan, bukan saja hingga usia 18 tahun. Malah, saya juga akan menanggung kos pengajian mereka di universiti sehingga tamat belajar.”

Begitulah kata-kata jaminan yang diluahkan Ahmad Dhani kepada HIP melalui orang kepercayaan dan teman rapatnya di Malaysia, Nur Iman Tang Abdullah.

Keputusan menanggung kehidupan mangsa kemalangan itu dibuat Ahmad Dhani atas dasar kemanusiaan serta rasa tanggungjawab terhadap waris yang ditinggalkan tujuh mangsa.

HIP difahamkan, Ahmad Dhani membuat keputusan itu kerana diburu rasa bersalah atas apa yang berlaku apatah lagi anaknya yang memandu kereta pada hari kejadian.

Selain berjanji menyara 13 anak malang itu, Dhani sedia menanggung kos perubatan lapan lagi mangsa yang cedera termasuk rakan Dul, Noval Samudra, 14, yang turut berada dalam kereta Mitsubishi Lancer dipandu anaknya itu.

“Ahmad Dhani memang ikhlas hendak membantu. Saya tahu dia tidak menggunakan kekayaan untuk menutup mulut keluarga mangsa. Jika dia orang yang begitu, sudah tentu Dhani lepas tangan sebaik pampasan dibayar kepada seluruh keluarga mangsa.

“Tapi Dhani bukan orang begitu. Dia mengambil berat kebajikan keluarga mangsa sehingga sanggup meluangkan masa menghadiri majlis pengebumian mangsa.

“Luarannya, Dhani kelihatan sangat tenang, tetapi daripada raut wajahnya, saya tahu dia risau dengan apa yang berlaku. Ditambah pula dengan keadaan anak bongsunya yang masih belum stabil.

“Dul mengalami kecederaan serius sehingga perlu menjalani lima pembedahan akibat patah tulang kaki, pinggul, rusuk, pendarahan usus dan jantung. Risau dengan keadaan anaknya itu, Dhani sanggup menolak undangan persembahan di Australia walaupun sudah bersetuju lebih awal,” kata Tang yang sering menguruskan kedatangan Ahmad Dhani ke Malaysia.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved