Saya Kena Bersedia Untuk Menjadi Suami! -Apek

on Tuesday, 13 November 2012


PENJAGA GOL bola sepak kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat (Apek) terpaksa menyerahkan soal persiapan perkahwinannya dengan Nur Eilunie Natasha Nazri (Leuniey) Disember depan kepada pengurusnya.

Ini semua gara-gara persiapan yang lebih penting yang perlu diberikan keutamaan iaitu Piala AFF Suzuki.

Apek, 23, yang kini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan berkata, keutamaannya pada waktu ini adalah memberikan tumpuan kepada persiapan Kejuaraan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2012 yang akan berlangsung dari 24 November hingga 22 Disember ini.

"Saya tidak mahu fikir apa-apa (tentang persiapan perkahwinan) buat masa ini. Fokus saya adalah bola (persiapan Piala AFF Suzuki). Perkara lain (perkahwinan) diuruskan pengurus saya.

"Tunggu nanti, saya akan umumkan pada sidang media. Selepas Piala AFF baru saya boleh fikir mengenai perkahwinan," katanya secara ringkas kepada mStar Online.

Penjaga gol skuad Kelantan itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Koleksi Ratu by Ezuwan Ismail' di sini, baru-baru ini.

Apek dan Leuniey mula menjalin hubungan selepas mereka berkenalan ketika terlibat dalam iklan minyak wangi 'SimplySiti Eau De Parfum' milik penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, awal tahun ini.

Ditanya mengenai hasrat berkahwin pada usia muda, Apek berkata, jodoh adalah ketentuan Allah.

"Urusan jodoh adalah rahsia dan ketetapan Allah. Jika sudah ditentukan saya bertemu jodoh pada usia muda takkan saya hendak lawan atau tolak takdir?

"Apa pun, saya kena bersedia untuk menjadi suami," katanya yang mengakui mula menyesuaikan diri dengan tekanan kontroversi dan buruan media.

Sementara itu, Leuniey pula berkata, sebagai pihak perempuan dia lebih selesa berdiam diri dan menyerahkan soal jawab berhubung majlis perkahwinan itu kepada Apek.

"Saya tidak boleh beri apa-apa komen. Kurang manis sebab saya perempuan, biarlah Apek umumkan pada sidang media nanti.

"Alhamdulillah persiapan ke arah itu (perkahwinan) berjalan lancar secara ringkas tetapi lengkap," katanya.

Mengenai keputusan untuk bersuamikan Apek yang baru dikenalinya, Leuniey berkata, usia dan tempoh perkenalan tidak menjadi isu kerana kematangan seseorang yang lebih utama.

"Dia (Apek) matang daripada usianya. Dia faham kesibukan saya sebagai usahawan dan tidak pernah memaksa atau mencari di mana saya berada ketika bekerja.

"Pendek kata, kepercayaan antara kami yang memberikan keyakinan untuk saya menerimanya. Lagi pun, dia seorang lelaki yang menghormati ibu bapa dan keluarga saya," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bapa Apek iaitu Che Mat Hussain berkata, pasangan itu dijangka melangsungkan perkahwinan mereka pada 28 Disember depan atau Januari 2013.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved