Dipetik dari sebuah portal hiburan tempatan, menurut Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk tujuan tersebut kerana selama ini mana-mana penerbit yang ingin menggunakan pakaian tentera bagi watak-watak tertentu dalam filem atau drama akan mendapat nasihat cara pakaian sebenar sebagai seorang anggota tentera.
"Kami tidak menerima apa-apa permohonan daripada Farid berhubung perkara itu tetapi langkahnya mencampur-adukkan pangkat dan pakaian pasukan beruniform di negara ini adalah tidak wajar."
Oleh yang demikian, pihaknya akan menghantar surat teguran kepada aktor tersebut supaya dia tidak mengulangi lagi kesilapan tersebut namun tiada tindakan undang-undang dapat dikenakan disebabkan pakaian yang disarungkan itu tidak melambangkan mana-mana pasukan keselamatan di negara ini.
"Seluar dan topi yang dipakai Farid adalah pakaian anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala lencana pada bahunya adalah pangkat mejar jeneral Tentera Darat. Lencana penerbangan di bahu kanan pula melambangkan seseorang itu adalah anggota Tentera Udara," katanya lagi.
Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan bahawa Farid mungkin bakal berdepan tindakan undang-undang kerana menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan pada majlis resepsinya yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya baru-baru ini.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment