Chong Wei lupa daratan dan besar kepala?

on Monday, 23 April 2012

KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong mengakui beliau kecewa kerana jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei tidak hadir pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2011 di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan malam kelmarin.

Zolkples berkata, ketiadaan Chong Wei yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2011 sedikit sebanyak telah mencacatkan majlis itu.

“Saya ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Chong Wei sehari sebelum majlis itu berlangsung.

“Namun, tanpa memberikan sebarang alasan, Chong Wei membalas SMS dengan mengatakan dia tidak dapat hadir dan akan mewakilkan abangnya (Lee Chong Hoon).

“Jadi, ini bukan suatu perkara yang baik. Alangkah cantiknya, jika Chong Wei yang dipilih sebagai pemenang dapat turut hadir sekali,” kata Zolkples kelmarin.

Menurut Zolkples, Chong Wei sepatutnya hadir pada majlis tersebut kerana ia turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah.

“Ini merupakan kali pertama Tuanku Abdul Halim hadir pada majlis Anugerah Sukan Negara selepas ditabalkan selaku Yang di-Pertuan Agong yang baharu pada minggu lalu.

“Jadi, ini menandakan satu perkara yang tidak baik,” kata Zolkples.

Turut hadir pada majlis kelmarin ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohid Mohamed.

Menurut Zolkples, MSN sanggup mengeluarkan kos tinggi bagi menanggung perbelanjaan pulang Pandelela Rinong dari Moscow, Rusia semata-mata bagi membolehkan penerjun cilik negara itu hadir menerima trofi sebagai Olahragawati Kebangsaan 2011.

Pada awalnya, Pandelela yang telah tamat beraksi pada Kejohanan Terjun Dunia FINA Siri 3 di Moscow, Sabtu lalu, dijadualkan terus berlepas ke Tijuana, Mexico bagi menyertai siri akhir kejohanan tersebut bermula esok.

Namun, hasil perbincangan antara MSN dengan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), penerjun berusia 19 tahun itu telah diterbangkan ke tanah air bagi menghadiri majlis tersebut.

“Jika Pandelela yang dari Moscow boleh hadir pada majlis kali ini, mengapa Chong Wei yang sememangnya berada di Malaysia tidak boleh,” soal Zolkples.

Sementara itu, Chong Wei yang diminta mengulas mengenai ketidakhadirannya pada majlis kelmarin menjelaskan, dia mengalami demam.

“Masuk hari ini (semalam) saya sudah dua hari demam. Sebab itu, saya tidak dapat hadir,” jelas Chong Wei.

Kosmo!
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved