‘Stress’ ditanya soal kahwin

on Saturday, 2 June 2012

MELIHATKAN penampilan luaran dan tubuhnya yang disaluti barangan berjenama mewah dari hujung rambut hingga kaki, pasti ramai yang beranggapan aktres jelita Rozita Che Wan seorang yang materialistik dan hidup dalam serba kemewahan.

Hakikatnya, Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta sebenarnya lebih suka mengamalkan cara hidup sederhana dalam segala hal.

Malah, Rozita mengakui sebagai ibu tunggal dua anak yang meningkat remaja, dia memang bekerja keras untuk memastikan dua anaknya, Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 14, hidup selesa sehinggalah mereka mampu berdikari kelak.

“Biarlah anak-anak yang hidup mewah kerana mereka sudah ‘terbiasa’ sejak dulu.

Sampaikan kasut sekolah pun anak-anak saya nak pakai jenama Louis Vuitton.

Sebagai ibu, saya pula tidak sampai hati untuk hampakan permintaan mereka. Saya akui bukan mudah untuk kita menukar secara drastik cara hidup yang sudah didedahkan sejak kecil.

“Contohnya, musim cuti sekolah ini pun anak-anak saya pergi bercuti bersama bapanya di Paris selama lapan hari. Saya juga beri duit poket pada anak-anak sebanyak RM2,000 dan kalau tak cukup, mereka akan hubungi saya minta masukkan lagi duit,” katanya.

Namun duta Safi Rania Gold ini berkata, dia sendiri tidak kisah memakai barangan kecantikan yang murah asalkan ia sesuai untuk kulitnya. Contohnya, saya memilih produk Safi Rania Gold yang sudah digunakan kami seisi keluarga sejak dulu. Buat apa saya nak beli produk kecantikan mahal kalau kita sudah ada produk bagus dan sesuai untuk kulit serta boleh dibeli dengan harga berpatutan.

“Saya juga tidak suka membazir dan hanya akan beli barang berjenama jika ia jualan murah atau diskaun. Lihat saja beg tangan Prada yang saya gayakan hari ini pun saya beli ketika ada jualan murah ketika berada di Paris, baru-baru ini,” katanya.

Rozita ditemui pada majlis pelancaran penjenamaan semula label pereka fesyen, Michael Shu dan koleksi Purnama By Michael Shu yang berlangsung di Alexis Garden, Mid Valley, baru-baru ini.

Berkongsi pencapaiannya, kata Rozita, dia bersyukur dengan apa yang dikecapi hari ini sejak berkecimpung dalam bidang seni enam tahun lalu.

“Walaupun saya pernah bersara ‘sebulan’ dulu tapi pengarah dan produser terus beri kepercayaan untuk beraksi dalam drama mereka sampai sekarang. Saya memang tak sempat berehat kerana tawaran berlakon yang semuanya watak utama tidak pernah putus sampai sekarang.

“Bukanlah saya tamak rebut semua tawaran yang datang, sebaliknya saya perlu lebih selektif jika dapat tawaran berlakon tiga drama dalam satu masa. Bagi mencari kelainan, saya akan pilih karakter mana yang lebih bagus dan mencabar untuk dilakonkan,” katanya.

Ketika ditemui, Rozita memberitahu, dia masih di lokasi penggambaran drama Miss Octopus arahan Jamal Khan untuk TV3. Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Qasehnya Qaseh bergandingan dengan Faizal Hussein dan drama bersiri 13 episod, Chef Cinta untuk TV2. Menyusul selepas ini ialah drama Aku janda Tak Kaya untuk saluran Astro.

Rozita nafi cari ‘pucuk muda’

SERING digosipkan dengan ramai artis muda yang kacak dan popular seperti Shahir AF dan Zain Saidin bukan bermaksud Rozita mencari lelaki muda untuk menjadi pasangan hidupnya. Bagi Rozita, semuanya berlaku hanya secara kebetulan saja.

“Setiap kali saya bergandingan dengan artis lelaki dalam drama, pasti saya akan dikaitkan dengan mereka. Saya pun tak boleh nak elak perkara itu daripada terus berlaku kerana ia di luar kawalan. Saya percaya, jika bertemu jodoh dengan lelaki berusia nanti, barulah orang akan berhenti daripada terus menyebarkan gosip sedemikian,” katanya.

Rozita mengakui dia tidak ada kawan rapat di kalangan artis wanita.

“Buat masa ini, memang Zain artis lelaki yang paling rapat dengan saya kerana selesa berkawan dengannya. Kami rapat sebagai kawan baik dan tak lebih daripada itu. Mungkin kerana Zain pandai melayan anak-anak saya hingga mereka rapat serta sering menghabiskan aktiviti bersama seperti berenang apabila ada kelapangan,” katanya.

Belumpun reda gosip dengan Zain, Rozita kini hangat digosipkan pula dengan seorang lagi pelakon kacak iaitu Beego. Hingga ada dakwaan aktres cantik ini dikatakan ‘menyara’ hidup pelakon itu dan memberi kesenangan kepadanya. Namun, Rozita menafikan gosip itu. Katanya, dia hanya kenal Beego sebagai rakan artis.

“Saya kenal Beego ketika kami bergandingan dalam drama Chef Cinta arahan Azmi Hatta pada April lalu untuk saluran TV2. Beego memang disenangi ramai kerana dia memang suka menghiburkan orang apabila di lokasi penggambaran.

“Memang saya terkejut apabila orang dakwa saya ‘menyara’ hidupnya dengan kemewahan. Saya bukanlah wanita sebodoh itu. Saya bekerja keras siang dan malam hanya untuk menyara diri sendiri dan anak-anak dan bukan untuk sara lelaki atau ‘pucuk muda’. Kriteria calon suami pun, saya cari lelaki yang boleh sayang anak-anak sama seperti mereka menyayangi diri saya,” katanya.

Sepuluh tahun bergelar ibu tunggal, Rozita mengakui sedikit sebanyak hidupnya berasa sunyi tanpa kehadiran seorang suami di sisi.

“Sebab itu saya sentiasa mengisi masa dengan berlakon, buat bisnes dan bersama keluarga kerana apabila kita sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti, sekurang-kurangnya tidaklah sunyi sangat. Apabila orang asyik tanya soal kahwin, saya mulalah berasa ‘stress’.

“Apa yang saya boleh katakan, buat masa ini, saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Selain mempunyai karier seni yang stabil, saya ada bisnes yang mula berkembang dan anak-anak di sisi,” katanya.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved