ALEPPO: Tentera Presiden Bashar Al-Assad membedil kubu-kubu pemberontak di sini dan beberapa bahagian lain di Syria semalam dengan pertempuran sengit dilaporkan berlaku di ibu kota Damsyik.
Perkembangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memanggil pulang pasukan pemerhatinya dari Syria.
Negara itu turut berdepan beberapa demonstrasi yang diadakan selepas selesai solat Jumaat.
Konflik berdarah yang berlanjutan selama 18 bulan itu di negara ini tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan reda.
PBB mengumumkan untuk membatalkan misi pemerhati di Syria kelmarin ketika masyarakat antarabangsa masih bertelagah berhubung kaedah yang sesuai untuk menamatkan pertumpahan darah dan menangani rejim Bashar.
Rusia meminta satu mesyuarat tergempar diadakan di New York semalam melibatkan duta-duta daripada anggota kumpulan Tindakan Geneva berhubung Syria.
Namun, masih tidak jelas sama ada negara Barat yang masih marah terhadap Moscow dan Beijing akan menghadiri mesyuarat tersebut.
Rusia dan China sebelum ini menggunakan kuasa veto masing-masing untuk membatalkan resolusi PBB yang dikemukakan Barat bagi menangani krisis di Syria.
Misi pemerhati itu berakhir tiga minggu selepas Kofi Annan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai utusan PBB/Liga Arab ke Syria.
Peletakan jawatan tersebut berpunca daripada kekecewaan Annan berhubung perbezaan pendapat dalam kalangan kuasa dunia dan peningkatan konflik ketenteraan yang menghalang pelan damainya.
Namun, beberapa diplomat dan pegawai berkata, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon masih mahukan kehadiran pasukan pemerhati PBB di Syria.
Menurut mereka, Ki-moon sedang berunding dengan bekas Menteri Luar Algeria, Lakhdar Brahimi untuk mengambil alih tugas Annan.
Menurut beberapa aktivis kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia, lebih 23,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan kuku besi Bashar bermula pada Mac 2011.
Semalam, tentera Bashar bertempur dengan pemberontak Tentera Pembebasan Syria (FSA) dekat sebuah lapangan terbang tentera utama di Damsyik.
Pihak tentera turut membedil bahagian selatan ibu kota itu dan di beberapa kawasan di bandar Aleppo serta wilayah Deir Ezzor di selatan negara itu.
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh selepas 180 orang mati di seluruh negara itu kelmarin.
Ia turut melaporkan bahawa mayat 65 orang yang tidak dikenali turut ditemui di bandar Qatana di barat daya Damsyik tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Di wilayah Hama, berpuluh-puluh orang menyertai satu demonstrasi sambil melaungkan slogan bahawa kemenangan pasti berlaku.
Kelmarin, beberapa aktivis melaporkan bahawa tentera Syria membedil sekumpulan penduduk yang berhimpun di luar kedai roti di sebuah daerah di bandar Aleppo.
Bandar itu kini merupakan pusat pertempuran antara tentera Bashar dengan pemberontak FSA.
Beberapa kumpulan hak asasi menuduh rejim pemerintah Syria itu melakukan kekejaman pada Rabu lepas apabila sekitar 40 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan udara besar-besaran ke atas kubu pemberontak di Aazaz, dekat Turki.
Pihak berkuasa Turki memberitahu, lebih 2,000 orang memasuki sempadan negara itu sejak serangan tersebut berlaku.
Sementara itu, sebuah panel PBB menyatakan, tentera Bashar dan militianya melakukan jenayah kemanusiaan termasuk membunuh dan menyeksa mangsa.
"Kami sedar bahawa kami bukan lagi mangsa keadaan dalam konflik ini kerana Bashar sengaja menjadikan orang awam sebagai sasaran," kata seorang penduduk daerah Saif Al-Dawla di Aleppo, Yasmine Shashati.
Dalam pada itu, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius mengulangi gesaannya supaya Bashar meletak jawatan berhubung serangan yang berlaku terhadap rakyat Syria.
"Dasar Perancis jelas. Kami menganggap Bashar sebagai penyembelih rakyatnya sendiri. Beliau perlu pergi (meletakkan jawatan), lebih cepat (meletakkan jawatan) lebih baik," katanya di Jordan.
Fabius yang berada di Lebanon semalam memberitahu agensi berita AFP bahawa Bashar akan dikejutkan dengan lebih banyak tindakan berpaling tadah tidak lama lagi.
Tekanan terhadap Bashar bertambah apabila Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menggantung keanggotaan Syria dalam badan itu kelmarin.
Tindakan yang sama dilakukan oleh Liga Arab pada tahun lalu dengan alasan ia tidak dapat menerima rejim yang membunuh rakyatnya sendiri.
Keputusan OIC tersebut ditolak oleh Syria.
Menurut Syria, keputusan itu merupakan konspirasi terhadap negara berkenaan yang didalangi Barat dan disokong oleh Arab Saudi serta beberapa seteru Damsyik di Asia Barat. - AFP
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment