Pelayan pusat karaoke beri alasan ketika ditahan selepas layan pelanggan
JOHOR BAHRU: Seorang pelayan pusat karaoke mendakwa terpaksa menawarkan khidmat seks ketika bekerja di situ, bagi mengumpul wang untuk membiayai majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung beberapa bulan lagi.
Alasan itu diberikan ketika anggota polis Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Johor menyerbu sebuah bilik hotel bajet terletak di belakang pusat karaoke tempatwanita itu bekerja, dekat Jalan Tun Abdul Razak di sini, awal pagi semalam.
Ketika ditahan, wanita terbabit baru saja selesai melayan seorang lelaki yang melanggannya ketika mengunjungi pusat karaoke berkenaan.
Sebaik ditahan, wanita berusia lingkungan 20-an itu menangis meminta dilepaskan kerana bimbang perkahwinan yang dirancangnya beberapa bulan lagi musnah jika kegiatan itu diketahui tunangnya.
Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan, Mohammad Abd Hamid, berkata serbuan dilakukan mulai jam 12 malam selepas mendapat maklumat awam dan hasil risikan berhubung kegiatan pelacuran yang ditawarkan pusat karaoke terbabit.
Katanya, dua pelayan wanita tempatan yang bekerja di pusat karaoke itu disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka dan penjaga pusat karoke terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut.
“Modus operandi yang digunakan lebih kurang sama dengan pusat hiburan eksklusif yang diserbu baru-baru ini, apabila pelayan menawarkan khidmat seks ketika berada di dalam bilik karaoke sebelum menjadikan hotel murah berdekatan untuk melampiaskan nafsu untuk menutup kegiatan mereka.
“Di sini, tawar menawar dibuat antara pelanggan dengan penjaga pusat karoke itu, sebelum persundalan dilakukan di hotel murah kira-kira 20 meter di belakang pusat terbabit dengan bayaran RM250,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 372(b) Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan pelacuran, manakala penjaga premis ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 372(1)(F) kanun sama.
“Operasi berterusan akan terus dilakukan bagi memastikan aktiviti persundalan dan jenayah lain dapat dibanteras.
“Maklumat dan kerjasama daripada orang ramai diperlukan untuk membantu polismenangani kegiatan jenayah,” katanya.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment