Dottie Tak Patah Semangat Berbadan Besar

on Saturday 24 August 2013

KUALA LUMPUR – Tidak memiliki pakej lengkap seperti artis-artis wanita lain, pelakon bertubuh besar, Nor Syuhaida atau lebih mesra dikenali sebagai Dottie tidak patah semangat.

Namanya hanya menjadi bualan ramai sewaktu di awal pembabitannya dalam dunia lakonan.

Namun kini, Dottie mengakui dia tidak lagi menerima banyak tawaran berlakon seperti dahulu.

Bagi Dottie, dia mengerti pasang surut kehidupan yang dilalui oleh anak seni lebih-lebih lagi pelakon yang tidak mempunyai pakej kecantikan seperti dirinya.

“Apapun, sepanjang tiga tahun bergelar anak seni ini saya semakin memahami perjalanan industri. Tak dinafikan, biar pun sekarang saya kekurangan tawaran berlakon tetapi ia tak pernah mematahkan semangat untuk mengundur diri daripada lakonan.

“Saya yakin dengan rezeki Tuhan dan usaha mesti berganda,” kata Dottie yang dipetik dari Harian Metro.

Bercerita mengenai fizikal tubuhnya, walaupun banyak kedengaran suara-suara sumbang yang bercakap mengenai penampilan dirinya, Dottie tidak melihat itu sebagai satu masalah.

Malah, dia tidak pernah menyesal mempunyai tubuh badan yang gempal dan berisi.

Ini kerana, dia sentiasa ingin bersyukur dengan rezeki dan kurniaan Tuhan yang diberikan.

Bukan itu sahaja, melihatkan beberapa artis Malaysia yang sentiasa gigih mengukuhkan nama, Dottie sentiasa mahu memajukan diri dan menjadikan itu sebagai panduan untuk dia terus berjaya.

“Namun, saya tidak kesal atau terlalu berasa rendah diri dengan tubuh besar yang dimiliki ini. Bagi saya, sama ada gempal atau kurus, ia adalah pemberian Tuhan dan saya harus bersyukur.

“Apatah lagi, saya yakin peminat sekarang tidaklah terlalu memandang pada saiz seseorang pelakon itu kecuali bakat dimiliki.

“Atas sebab itu, saya sentiasa pastikan berfikiran positif untuk lebih maju ke hadapan. Apatah lagi, melihat kejayaan beberapa artis tempatan yang bertubuh besar seperti penyanyi, Adibah Noor dan pengarah, Afdlin Shauki sudah membuktikan mereka berjaya di dalam kerjaya seni diceburi ini Jadi, pokok pangkalnya usaha,” luah Dottie.

Oleh: NAIMAH SHAARI
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved