Pemindahan Rahim Tidak Bertentangan Dengan Islam - Mufti Perak

on Thursday 20 September 2012

IPOH, 19 Sept - Pemindahan rahim daripada seorang wanita kepada wanita lain yang memerlukan menerusi pendermaan organ adalah dibenarkan dan tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.


Tan Sri Harussani berkata Pemindahan Rahim
Bertujuan Mendapatkan Zuriat.
Beliau berkata walaupun ketiadaan organ peranakan itu tidak menjejaskan nyawa seseorang wanita, namun hukum menderma rahim bagi membantunya untuk mendapatkan zuriat adalah harus.

"Bagaimanapun dengan syarat rahim itu daripada wanita yang sudah meninggal dunia dan penerima organ tersebut pula merupakan wanita yang mempunyai masalah rahim.

"Pemindahan rahim tersebut juga bertujuan untuk mendapat zuriat sesuai dengan perintah Allah di dalam Al-Quran," katanya pada sesi soal jawab Forum Pendermaan Organ di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Beliau menjadi panel forum anjuran Pusat Sumber Organ HRPB dan Unit Pendidikan Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bersama Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan Datin Dr Fadzilah Zowiyah Lela Yasmin Mansor dan Pengurus Klinikal Transplan Kebangsaan Dr Muhammed Anis Abdul Wahab.

Pemindahan rahim pertama yang berjaya telah dilakukan Dr Omer Ozkan dan pasukannya di Hospital Universiti Akdeniz, Antalya, Turki pada Ogos tahun lepas terhadap Derya Sert, 22, yang dilahirkan tanpa rahim.

Bagaimanapun, Harussani berkata pemindahan organ itu tertakluk kepada syarat yang digariskan mengikut Islam, antaranya, penderma mesti disahkan telah meninggal dunia, mendapat kebenaran keluarga penderma dan tidak melibatkan urusan jual-beli.

Beliau juga berkata pendermaan organ, sama ada kepada orang bukan Islam atau sebaliknya, adalah dibenarkan dan perkara itu tidak sepatutnya menimbulkan sebarang salah faham.

-- BERNAMA
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved