Kertas Daun Pisang Tidak Bahayakan Kesihatan

on Saturday 19 May 2012

Kertas Daun Pisang Tidak Bahayakan Kesihatan


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan daun pisang yang digunakan oleh beberapa restoran untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan sebenarnya sejenis kertas berbentuk daun pisang yang selamat untuk digunakan sebagai bahan pembungkus makanan.

Hasil siasatan Kementerian Kesihatan tersebut sekali gus menafikan keraguan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terhadap kertas daun pisang berkenaan yang dikhuatiri dicelup dengan warna hijau dan mungkin mengandungi sisa dakwat sisa membahayakan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Sri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan di restoran yang didakwa menggunakan daun pisang palsu untuk menghidangkan makanan kepada pelanggan tersebut dan keputusan mendapati daun pisang palsu tersebut sebenarnya sejenis kertas berbentuk daun pisang.
“Kertas berbentuk daun pisang tersebut diimport oleh pemilik restoran berkenaan dari India dan turut digunakan di semua tujuh buah cawangan restorannya yang terletak di Selangor.
“Kementerian Kesihatan telah mengambil sampel kertas yang berbentuk daun pisang tersebut bagi analisis kandungan phthalate, Bisphenol A (BPA) dan juga bahan pewarna dan analisis mendapati sampel tersebut tidak mengandungi phthalate dan BPA,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Hasan berkata, siasatan turut mendapati kertas tersebut mengandungi bahan pewarna yang dibenarkan penggunaannya oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sekali gus membawa kesimpulan bahawa kertas berbentuk daun pisang itu selamat untuk digunakan sebagai bahan pembungkus.
Menurut beliau, bahan pembungkus makanan yang didapati mengandungi bahan beracun, tindakan perundangan boleh diambil di bawah Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna dan pihaknya memberi jaminan keselamatan dan kualiti makanan di negara ini berada pada tahap yang terkawal.
“Maklumat penting berkenaan isu semasa keselamatan makanan boleh dilayari melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), KKM di alamat http://fsq.moh.gov.my,” katanya lagi.
Presiden CAP, S.M. Mohamed Idris baru-baru ini dilaporkan berkata daun pisang tiruan yang digunakan oleh restoran-restoran boleh membahayakan kesihatan kerana dibuat daripada surat khabar yang dikitar semula.
Beliau dipetik berkata, bahan tambah yang digunakan boleh mengeluarkan bahan kimia apabila makanan panas dihidangkan di atas daun dan mengesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved