Drama terbaru terbitan Astro untuk tayangan di saluran Mustika HD, "Adam & Hawa" kini menemui penonton.
Drama sebanyak 80 episod menerima kritikan positif lantaran jalan cerita dan juga pemilihan pelakon yang dikira cukup sesuai untuk mengalas watak sebagai Adam Mukhriz dan juga Ain Hawani dan pemilihan Aaron Aziz dan juga Nadiya Nissa adalah pelakon yang paling tepat.
Pernah memenangi anugerah Filem Festival Malaysia yang ke-11 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Nadiya Nissa menyifatkan ini adalah rezekinya kerana pencarian Hawa lebih setahun akhirnya ditemui.
"Saya diberitahu bahawa calon Hawa telah dicari sejak setahun yang lalu sehinggalah mereka mendekati saya. Saya merasakan ini adalah rezeki dan juga peluang yang tidak akan saya sia-siakan."
"Apatah lagi saya dapat berlakon bersama Aaron Aziz, saya amat meminati dan menghormatinya sebagai seorang yang amat berbakat dalam lakonan," ujar Nadiya.
Drama yang diadaptasi dari novel hasil karya Aisya Sofea ini dikira semakin digilai manakan tidak, watak Adam Muhkriz sememangnya menarik perhatian ramai.
Mengisahkan tentang Adam Muhkriz yang merupakan seorang kaki perempuan akhirnya bertemu Ain Hawani membuatkan dirinya jatuh cinta. Namun apa yang lebih menyedihkan Adam dan juga Hawa terpaksa bernikah kerana dikatakan terlibat di dalam satu kes khalwat. Perjalanan cerita diteruskan apabila Adam bersetuju mengahwini Hawa tanpa memberitahu perkara sebenar dan membuatkan Hawa membenci kepadanya.
Drama "Adam & Hawa" boleh ditonton di Astro Mustika HD (Saluran 134) setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam bermula 27 Ogos lalu.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment