Johnny Depp Ceburi Bidang Baru

on Tuesday 23 October 2012


PELAKON serba boleh Johnny Depp kini cuba menceburi dunia percetakan pula apabila beliau melancarkan sebuah syarikat percetakan buku bersama Harper, iaitu sebuah subsidiari kepada syarikat penerbitan HarperCollins. Syarikat tersebut turut menggunakan nama 'Infinitum Nihil', iaitu nama bagi syarikat penerbitan filem beliau yang sebelum ini pernah menerbitkan filem seperti "The Rum Diary", "Hugo", "Dark Shadows" dan "The Lone Ranger".

Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh HarperCollins, beliau berkata, "Saya berjanji, bagi pihak Infinitum Nihil, bahawa kami akan membuat yang terbaik dalam menghasilkan penerbitan buku yang pasti tidak akan mengecewakan orang ramai."

"Untuk merealisasikan impian ini, kami ingin memberi penghormatan kepada HarperCollins kerana memberikan kepercayaan kepada kami dan berharap hubungan kami berpanjangan serta mendatangkan hasil yang lumayan," sambung beliau lagi.

Menurut LA Times, Depp baru sahaja mengumumkan bahawa Infinitum Nihil akan menerbitkan dua buku pertama yang berjudul "The Unravelled Tales of Bob Dylan" hasil nukilan Douglas Brinkley dan "House of Earth", sebuah novel yang ditulis oleh penyanyi folk, Woody Guthrie.

Buku "The Unravelled Tales of Bob Dylan" dilihat sebagai suatu cara yang ideal dalam memulakan percetakan Infinitum Nihil dan dijadualkan untuk keluar pada tahun 2015.

"House of Earth" pula dijangka akan siap pada bulan Januari tahun depan, yang mana pengenalan dalam buku tersebut ditulis oleh Depp dan Brinkley sendiri.

Buku-buku yang dipilih Infinitum Nihil adalah bersesuaian dengan cita rasa Depp sendiri, yang sedang mencari suara dan idea yang asli, lantang dan penuh visi.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© Al-Kisah....... All Rights Reserved