19 Oktober- Lagu Jaclyn Victor kali ini menjadi bualan ramai bukan kerana muziknya, tetapi kerana lirik yang mencetuskan kontroversi dengan menyelitkan sedikit unsur Kristianiti.
Nama Jesus yang disebut-sebut dalam lirik lagu tersebut dilihat sebagai satu penghinaan kepada umat Islam yang merupakan rakyat majoriti di negara ini. Akibatnya, pihak yang tersinggung mendesak orang ramai untuk memboikot semua album dan persembahan beliau.
Dipetik dari portal FZ.com, Syed Hassan Syed Ali selaku setiausaha persatuan Pekasa, mengatakan perbuatan Jaclyn sebagai sesuatu yang tidak sensitif, lebih-lebih lagi apabila peminat beliau kebanyakannya adalah Melayu beragama Islam. Sebagai pengajaran, beliau menyarankan agar pihak atasan tidak lagi membenarkan Jaclyn dari membuat sebarang kemunculan di media elektronik.
Dakwaan-dakwaan tersebut ditolak keras oleh Jaclyn sendiri, yang mengatakan isu lagu "Harapan Bangsa" tidak perlu dipertikaikan.
Merujuk kepada laporan di Berita Harian, penyanyi itu memberi penjelasan beliau seperti yang berikut:
"Lagu itu saya rakam sekitar 2007 khusus untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta pihak gereja. Ia dicipta oleh seorang paderi dengan mesej keamanan Malaysia. Sebagai seorang penganut Kristian, rasanya tidak salah jika saya yang beragama Kristian menyanyikan lagu itu."
"Lagipun, ia bukan untuk tujuan komersial. Jadi, mengapa perlu mempertikaikan lagu yang sudah lama dirakamkan itu?"
"Saya sedar, mungkin disebabkan lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Malaysia membuatkan ramai yang melihat perkara ini sebagai tidak sensitif dan menganggap saya cuba menyebarkan fahaman Kristian. Saya menyanyi dalam bahasa Malaysia kerana kebanyakan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak bertutur dalam bahasa Malaysia."
Tambah Jaclyn lagi, beliau sendiri mempunyai ramai kawan yang beragama Islam dan cukup menghormati kepercayaan dan amalan mereka. Beliau berharap agar isu ini tidak berpanjangan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment