NEW DELHI - Pelakon Bollywood terkenal, Aishwarya Rai kelihatan langsing ketika dia menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-180 jam tangan jenama Longines di sini semalam.
Dia yang juga duta produk tersebut membuat penampilan dengan mengenakan gaun hitam Dolce & Gabbana selain menyarung jaket pendek yang menampakkan potongan badannya yang baharu.
Sebelum ini, pelakon jelita itu pernah menjadi perhatian umum apabila dia mengalami masalah berat badan selepas melahirkan anak perempuan sulungnya, Aaradhya yang berusia 11 bulan.
"Perkara itu (berat badan) tidak pernah menjadi isu kepada saya. Jika berat badan saya menjadi isu, saya akan menyamar," katanya yang dipetik portal berita NDTV.com.
Pada 25 Mei lalu, tubuhnya kelihatan gemuk ketika dia menghadiri Festival Filem Cannes di Cannes, Perancis.
Rai, 38, mengakui dia teruja dengan kehidupannya sebagai seorang ibu.
"Saya berasa bertuah kerana dapat meluangkan banyak masa untuk menguruskan anak," katanya.
Rai turut menjelaskan, dia tidak pernah berniat untuk menyembunyikan anaknya itu daripada pihak media.
"Apabila anak bersama saya, saya akan bertindak mengikut naluri keibuan. Jika anak saya membuka mata atau terkejut, saya akan cuba melindungi dia. Ia tidak bermaksud saya mahu menjauhkannya (daripada mendapat liputan media)," ujarnya yang pernah mendapat gelaran wanita tercantik di dunia.
Rai berkata, dia turut mendapat beberapa tawaran untuk berlakon.
Bagaimanapun, dia masih meneliti skrip filem yang ditawarkan kepadanya.
Rai berkahwin dengan aktor Abhishek Bachchan pada 2007. - Agensi
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment